mutakhir

Ajal terlanggar lembu

Oleh Juwan Riduan

PELAJAR maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar lembu yang dipercayai tiba-tiba melintas jalan di Jalan Pasir Putih, Keningau, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa lelaki berusia 17 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan bergerak dari Taman Golf View menuju ke Taman Luagan melalui Jalan Pasir Putih.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dipercayai terlanggar seekor lembu yang berada di atas jalan.

"Akibat kejadian itu, mangsa tercampak di atas jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahrudin berkata, susulan kejadian itu juga motosikal ditunggang mangsa rosak teruk.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu disebabkan oleh haiwan melintas dan siasatan masih diteruskan.

"Mayat dihantar ke Hospital Keningau untuk pemeriksaan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 10:30am
d