mutakhir

DBKK disinfeksi pasar awam setiap hari

Oleh Yun Mikail

SEMUA pasar awam di bandar raya ini menjalani proses disinfeksi atau nyah kuman setiap hari untuk memastikan tiada penularan wabak Covid-19 di kawasan berkenaan.

Enam pasar awam terbabit adalah Pasar Besar Kota Kinabalu, Pasar Tanjung Aru, Pasar Sembulan, Pasar Inanam, Pasar Menggatal dan Pasar Telipok.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman berkata, langkah itu diambil berikutan pasar adalah lokasi tumpuan awam setiap hari untuk membeli barangan keperluan harian.

"Kita tidak tahu tahap kesihatan seseorang yang datang ke pasar. Oleh itu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil pencegahan awal seumpama ini setiap hari.

"Bagaimanapun, kita lihat tahap pematuhan orang awam apabila datang ke pasar awam kini berada pada tahap baik," katanya ketika ditemui selepas operasi disinfeksi kaki lima dan tempat letak kereta pusat bandar raya ini, semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah DBKK, Noorliza Ag Alip.

Nordin berkata, DBKK sentiasa meningkatkan pemantauan di kawasan pasar supaya tidak ada pelanggan yang melanggar peraturan ditetapkan.

Katanya, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bertugas juga diarahkan untuk memeriksa suhu badan pelanggan selain mewajibkan mereka memakai penutup mulut dan hidung serta cecair basmi kuman.

Sementara itu, Nordin berkata sebanyak 102 lokasi awam sekitar bandar raya Kota Kinabalu sudah melalui proses nyah kuman setakat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga.

Antara lokasi terbabit adalah masjid, surau dan bangunan jabatan kerajaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 11:36am
    d