mutakhir

Fuziah tak mengaku salah [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

AHLI Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan menerusi Facebook yang mengakibatkan kegentaran awam, 9 April lalu.

Fuziah, 61, yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R Salini.

Tertuduh didakwa membuat kenyataan menerusi akaun Facebook 'Fuziah Salleh' di pautan https://www.facebook.com/YBFuziahSalleh, yang boleh menyebabkan kegentaran kepada awam di Taman Imigresen, Jalan Tasek Utara, kira-kira jam 10 malam, 9 April lalu.

Fuziah didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam.

Ia membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Hassan Karim dan John Fernandez.

Majistret kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Jun depan.

Terdahulu, sebelum prosiding dimulakan, Hassan membuat bantahan dan memohon kes berkenaan digugurkan dengan alasan tertuduh tidak diberikan notis awal terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Hassan turut mendakwa anak guamnya seolah-olah diserang hendap kerana tidak dimaklumkan dahulu pertuduhan mengikut seksyen berkenaan.

Bagaimanapun, Nor Azizah dalam hujahnya berkata, saman sudah diserahkan sendiri kepada Fuziah di Kuantan semalam, di mana dalam kandungan saman itu menyatakan tertuduh perlu menjawab pertuduhan ke atasnya hari ini mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, malah tertuduh turut menandatanganinya.

Terdahulu Fuziah yang berbaju kurung jingga tiba kira-kira jam 8.20 pagi di perkarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru diiringi suaminya, Russly Abdul Rahman dan beberapa penyokongnya.

Pada 9 April lalu, Fuziah didakwa memuat naik di akaun Facebook miliknya sebuah video kononnya berlaku huru-hara di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.

Bagaimanapun, video berkenaan disahkan polis sebenarnya adalah sesi latihan kebakaran di CIQ BSI pada Disember tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 12:22pm
    d