mutakhir

Etnik Rohingya hina orang Melayu menetap di Amerika Syarikat

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

TIGA lelaki dipercayai etnik Rohingya yang membuat siaran langsung di Facebook dan membuat penghinaan terhadap orang Melayu didapati menetap di Milwaukee, Wisconsin, Amerika Syarikat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan mendapati pemilik akaun 'Villan Vicky' itu adalah etnik Rohingya dan pernah tinggal di Malaysia.

"Siaran langsung menunjukkan dia mencabar rakyat Malaysia dengan menggunakan bahasa kesat. Susulan itu satu kertas siasatan dibuka bagi menyiasat video berkenaan.

"Selain itu, siasatan turut dijalankan ke atas satu video yang tular dan menunjukkan empat individu sedang menjalani latihan menembak. Suspek juga membuat ugutan untuk menembak mana-mana individu yang masuk ke kawasan tempat tinggal suspek," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Huzir berkata, siasatan ke atas siaran langsung Facebook itu mendapati terdapat perbualan antara tiga lelaki bersama seorang lelaki yang tidak dikenali yang mempersoalkan tujuan mereka memberikan komen negatif terhadap orang Melayu di Facebook.

"Mereka menjelaskan bahawa kemarahan itu bukan ditujukan kepada orang Melayu sebaliknya kepada Presiden Pertubuhan Hak Asasi Etnik Rohingya (Mehrom) dan etnik Rohingya yang didakwa ingin menjadi orang Melayu.

"Siaran langsung berkenaan menimbulkan perselisihan faham antara kedua-dua pihak hingga membawa kepada ancaman, penghinaan dan komen kasar," katanya.

Menurutnya, setakat ini pihaknya menerima 19 laporan polis berhubung isu etnik Rohingya dan empat daripadanya dibuka kertas siasatan.

"Kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

"Polis menggesa orang ramai menghentikan apa jua spekulasi mengenai siasatan yang sedang dijalankan," katanya.

Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 3:21pm
d