mutakhir

Kegiatan jual ubat 'online' secara haram tumpas

Oleh Suraya Roslan

KERJASAMA pihak berkuasa membabitkan 90 negara termasuk Malaysia berjaya menumpaskan 37 kumpulan jenayah terancang melalui Operasi Pangea XIII yang menjual ubat-ubatan dan produk perubatan dalam talian secara haram.

Operasi Pangea XIII ini diselaraskan Polis Antarabangsa (Interpol) dengan pembabitan polis, kastam dan pihak berkuasa kesihatan dari 90 negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam operasi antarabangsa itu, penutup mulut dan hidung, cecair pembasmi kuman yang tidak menepati piawai, ubat antivirus yang tidak sah dan ubat-ubatan berbahaya bernilai lebih AS$14 juta (RM60.8 juta) juta disita dan dirampas.

"Malaysia terbabit dalam operasi bermula 3 hingga 10 Mac lalu dan pembabitan kali kelapan yang memberi tumpuan kepada laman sesawang dan media sosial yang menawarkan ubat-ubatan berbahaya termasuk peranti perubatan dan tindakan penguatkuasaan berasaskan Internet yang terbesar seumpamanya diadakan di seluruh dunia.

"Hasilnya 2,000 pautan dalam talian yang mengiklankan barangan yang berkaitan dengan Covid-19 berjaya ditemui.

"Pada tahun ini, tumpuan diberikan terhadap penjualan ubat-ubatan dan peranti perubatan yang disalahgunakan bagi tujuan rawatan Covid-19," katanya.

Menurutnya, berbanding tahun sebelum ini, operasi Pangea tahun ini menunjukkan peningkatan sekitar 18 peratus dalam rampasan ubat antivirus yang tidak sah.

Katanya, ia peningkatan lebih daripada 100 peratus dalam rampasan hydroxychloroquine dan chloroquine yang tidak dibenarkan, juga dikaitkan dengan wabak Covid-19.

"Operasi ini berjaya menutup lebih daripada 2,500 pautan web, termasuk laman web, laman media sosial, tapak pasar dalam talian dan iklan dalam talian (e-marketplace) yang menjual ubat-ubatan terlarang.

"Di Malaysia, operasi ini membabitkan kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pos Malaysia, pihak kurier dan juga platform e-marketplace.

"Sebanyak 347 laman web peribadi, 360 akaun di laman sosial dan 585 pautan di platform e-marketplace yang didapati menjual produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan dipantau, disiasat dan diambil tindakan," katanya.

Katanya, sepanjang tempoh operasi itu, sebanyak 853 bungkusan pos diperiksa dan 79 daripadanya didapati mengandungi produk farmaseutikal yang tidak berdaftar dirampas.

"Antara produk utama dikesan dan dirampas adalah kosmetik tidak bernotifikasi dan juga produk kesihatan yang kebanyakannya tidak berdaftar dengan KKM.

"Pemeriksaan turut dijalankan di semua pintu masuk utama di seluruh negara membabitkan kargo udara, lapangan terbang, pos sempadan dan terminal feri.

"Sebanyak 1,026,857 unit ubat-ubatan tidak berdaftar dirampas dengan nilai rampasan sebanyak RM2.6 juta," katanya.

Katanya, selain itu, serbuan dijalankan ke atas 50 premis tidak berlesen yang kebanyakannya menjual produk farmaseutikal dalam talian di seluruh negara.

"Dalam serbuan itu, 23,278 produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang dirampas untuk tindakan lanjut dengan nilai rampasan dianggarkan RM 633,455.

"Turut dirampas adalah beberapa peranti digital seperti komputer dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium untuk memasarkan produk.

"Punca utama yang dikenal pasti penyebab penjualan ubat-ubatan yang tidak berdaftar dan dicampur palsu dalam talian meningkat adalah berikutan permintaan pengguna di Malaysia dan juga di seluruh dunia.

"Wabak Covid-19 memberikan peluang penjenayah mengambil kesempatan berdasarkan permintaan yang tinggi untuk produk perlindungan diri dan kebersihan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 3:23pm
    d