mutakhir

Lelaki Rohingya dalang pecah rumah [METROTV]

Oleh Nurul Amanina Suhaini

PENAHANAN tiga lelaki Rohingya semalam menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah yang dilaporkan di daerah ini sejak November lalu.

Suspek berusia 20 hingga 32 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar daerah ini bermula jam 8 malam kelmarin hingga 3 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, seorang lelaki tempatan usia lingkungan 40-an membuat laporan rumahnya di Indahpura, Kulai, dipecah masuk, kira-kira jam 6.30 petang, Ahad lalu.

Katanya, mangsa membuat pemeriksaan dan mendapati sejumlah wang termasuk Dolar Singapura dan Dolar Amerika Syarikat, buku bank serta pasport hilang membabitkan kerugian RM7,000.

"Bertindak atas maklumat, pegawai dan anggota Team Lejang/Pintu Balai Polis Kulai membuat tiga serbuan berasingan di daerah ini dan menahan tiga lelaki Rohingya.

"Ketika serbuan turut mendapati dua kanak-kanak perempuan iaitu anak tiri kepada seorang daripada suspek berusia lapan dan sembilan tahun," katanya dalam siang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di sini, hari ini.

Menurut Beng Yeow, siasatan awal mendapati suspek juga terbabit dengan kes pecah masuk sekitar Bandar Putra, Saleng, Senai dan Indahpura di Kulai, selain ada di antara mereka yang memiliki kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Beliau berkata, polis turut merampas peralatan pecah rumah seperti besi pembuka tayar dan ragum, selain sembilan resit pajak gadai, lima rantai leher, tiga gelang batu jed hijau, lima loket, wang tunai, dua komputer riba dan dua kereta Perodua Viva serta Myvi dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah lebih RM80,000.

"Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan rakan sejenayah etnik Rohingya dipercayai dalang utama kes berkenaan yang masih bebas iaitu seorang wanita dikenali Norjan, 30, dan seorang lelaki dikenali sebagai Abdullah, 32," katanya.

Ketiga-tiga suspek direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 5 Mei depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Katanya, dua kanak-kanak perempuan terbabit akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 4:51pm
d