mutakhir

Sektor ekonomi diutamakan - Dr Noor Hisham [METROTV]

Oleh Shamran Sarahan; Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memberi keutamaan kepada sektor ekonomi untuk beroperasi terlebih dulu berbanding sosial dan pendidikan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peringkat permulaan KKM mencadangkan sektor ekonomi beroperasi terlebih dulu berbanding sektor lain.

"Sektor pendidikan dan sosial kita tangguhkan sekejap, biarkan sektor ekonomi berjalan dulu.

"Kemudian kita akan menilai dan memantau situasi dalam tempoh dua hingga empat minggu untuk mencadangkan sektor sosial dan pendidikan dibuka semula," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada sekolah boleh dibuka semula atau sebaliknya.

Dr Noor Hisham berkata, begitu juga dengan pembukaan taska yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), esok.

"Perkara ini akan diusul dan dipertimbangkan nanti dengan syarat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KKM.

"Tidak kira taska, restoran atau institusi lain, semuanya akan diputuskan nanti sesuai dengan SOP KKM," katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, perkhidmatan penting yang dibuka sepenuhnya menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa empat perlu mematuhi SOP ditetapkan KKM.

"Jika sebelum ini menerusi PKP fasa dua kita hanya membenarkan 50 peratus berfungsi, tetapi menerusi PKP fasa empat kita membenarkan 100 peratus beroperasi.

"Tetapi ia tertakluk kepada kepatuhan dan garis panduan ditetapkan KKM terutama kilang.

"Antara SOP KKM untuk kilang beroperasi adalah mereka perlu mempunyai pengimbas suhu badan dan mengamalkan penjarakan sosial. Jika ini dipatuhi baru KKM membenarkan mereka beroperasi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 6:09pm
    d