mutakhir

Nafi Pekan Dangi tidak selamat

Oleh Amran Yahya

KHABAR angin tular di media sosial seolah-olah menggambarkan keadaan Pekan Dangi, Kuala Pilah tidak selamat akibat penularan wabak Covid-19, adalah tidak benar.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, sehingga kini tiada individu disahkan positif Covid-19 di sekitar kawasan Pekan Dangi atau di daerah Kuala Pilah.

"Berdasarkan maklumat sahih mengesahkan terdapat dua individu dari Pekan Dangi menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan Johol, semalam.

"Mereka dikategorikan di bawah 'Person Under Investigation' (PUI) iaitu yang berkait dengan kes Pasar Awam Bahau," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Faizal berkata, individu terbabit kini menjalani perintah kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari dan dipantau Pegawai Kesihatan Daerah.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk Pekan Dangi dan kawasan sekitar supaya tidak panik dan mudah percaya dengan berita sedemikian.

"Semua urusan jual beli barangan basah di Pekan Dangi boleh dilaksanakan dengan selamat dengan syarat semua penduduk mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Selain itu, mereka perlu mengamalkan penjagaan kesihatan seperti penjarakkan sosial, memakai topeng muka dan mulut serta menggunakan pensanitasi tangan ketika berurusan," katanya .

Sejak semalam, tular satu memo melarang pekerja di sebuah ladang supaya tidak ke Pekan Dangi untuk membeli bekalan makanan atau apa-apa sahaja tujuan.

Memo itu turut menyatakan pembekal barangan basah di pekan itu dikuarantin selama 14 hari kerana jangkitan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 6:57pm
    d