mutakhir

Covid-19: Virus bermutasi lebih ganas [METROTV]

Oleh Shamran Sarahan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan virus Covid-19 yang bermutasi akan menjadi lebih ganas untuk menjangkiti ramai individu.

Kajian Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) terhadap virus yang menjangkiti kes ke-26 di negara ini, mendapati ada satu mutasi pada komposisinya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penemuan itu menyebabkan pihaknya mengesyaki mutasi berkenaan yang menyebabkan virus Covid-19 untuk kes-26 itu menjadi lebih ganas dan menjangkiti sehingga 120 individu.

"Kes-26 itu berlaku dalam peringkat awal gelombang kedua jangkitan wabak Covid-19 di negara ini.

"Mungkin mutasi punca kes itu menjangkiti ramai individu lain. Mutasi baharu lebih ganas dan dahsyat dari segi jangkitan dan penularan dalam kalangan individu yang terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham yang mengulas kajian dan penemuan institut kajian di India yang menemui 10 mutasi virus Covid-19 termasuk satu daripadanya, A2a yang dikatakan sangat efisyen menembusi sel paru-paru manusia dalam jumlah yang besar.

Beliau berkata, hanya India melaporkan sebanyak 10 mutasi, bagaimanapun, pihaknya dimaklumkan setakat ini sudah ada 30 mutasi virus Covid-19.

"Justeru IMR kini dikehendaki memberi tumpuan terhadap pengasingan dan kajian virus Covid-19 untuk melihat sama ada wujud strain yang berbeza dalam kalangan pesakit di negara ini.

"Setakat ini, ketika kita melihat gelombang pertama dan pada peringkat awal gelombang kedua, kita dapati strain jangkitan di Malaysia adalah bersamaan dengan jangkitan di Wuhan, China.

"Apa yang kita perlu laksanakan, buat kajian gelombang kedua terhadap pesakit kita yang sudah disahkan (jangkitan) dan pulang dari negara tertentu. Kita sedang buat pengasingan dan kajian virus," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 9:31pm
    d