mutakhir

PDRM tidak lindung pegawai

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS tidak pernah berkompromi dan tidak akan melindungi sebarang perlakuan jenayah yang dilakukan oleh mana-mana pegawai atau anggota dalam pasukannya.

Ini dibuktikan selepas Pejabat Peguam Negara membenarkan untuk menuduh pegawai kanan polis yang terbabit dalam kes rogol di sebuah hotel di Petaling Jaya, 11 April lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, terdapat segelintir masyarakat yang cuba mempertikaikan kewibawaan polis dan mengendalikan kes yang membabitkan pegawainya.

"Polis mengingatkan kepada mereka yang bersikap skeptikal, prejudis dan memandang rendah akan profesionalisme kepolisan supaya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang dianggap pramatang.

"Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang cuba untuk mencetuskan persepsi negatif dan kegusaran awam dalam menangani apa jua kes yang disiasat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Huzir berkata, pihaknya menerima arahan dari Pejabat Peguan Negara untuk menuduh dua kertas siasatan terhadap pegawai polis berkenaan.

"Kertas siasatan pertama sudah dituduh di Mahkamah Klang mengikut Seksyen 13(1) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana kesalahan pemerdagangan orang dengan cara penyalahgunaan kuasa untuk tujuan eksploitasi seks.

"Kertas siasatan kedua akan dituduh pada hari ini di Mahkamah Petaling Jaya mengikut Seksyen 376(2)(1) Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul," katanya.

Katanya, tindakan berkenaan menunjukkan bahawa polis sentiasa menegakkan undang-undang tanpa mengira status dan kedudukan seseorang.

"Jadilah masyarakat yang bertanggungjawab dalam membina negara bangsa ke arah masyarakat yang akan dan sejahtera," katanya.

Disiarkan pada: April 30, 2020 @ 8:43am
d