mutakhir

Nak teman sahur, katanya...

Oleh Zuliaty Zulkiffli

CUBAAN lelaki di Jitra melarikan diri melalui bumbung dari bilik air rumah untuk mengelak daripada dicekup berkhalwat gagal apabila dia ditahan anggota Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP).

Dalam kejadian 12.45 tengah malam tadi, lelaki berusia 58 yang masih berstatus suami orang itu dicekup berkhalwat di rumah wanita berusia 46 tahun yang juga masih berstatus isteri orang di sebuah rumah kampung di daerah itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Undang-undang dan Syariah Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pemeriksaan diketuai Mohamad Ihsanuddin Mohd Azahar selepas menerima aduan awam berhubung kes khalwat di kawasan itu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati wanita itu tinggal di rumah berkenaan bersama anak perempuannya berusia 13 tahun.

"Ketika serbuan dilakukan, anggota kami mendapati lelaki berkenaan masuk melalui bilik air rumah itu untuk melarikan diri menerusi bumbung rumah berkenaan tetapi gagal apabila rumah itu dikepung anggota PADKP.

"Berikutan itu, dia ditahan dan hasil soal siasat mendapati lelaki itu sudah beberapa hari menumpang di rumah wanita itu, malah memberi alasan untuk bersahur bersama," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Radzi berkata, hasil soal siasat mendapati wanita itu masih isteri orang dan dalam proses untuk berpisah dengan suaminya.

Beliau berkata, mereka memberi alasan mempunyai masalah dengan pasangan masing-masing, namun alasan itu tidak membolehkan mereka tinggal bersama tanpa sebarang ikatan.

"Mereka ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Disiarkan pada: April 30, 2020 @ 9:32am
d