mutakhir

Lesap RM12,614 ditipu Macau Scam

Oleh Nur Izzati Mohamad

PENJAWAT awam di Kepala Batas dilaporkan kerugian sebanyak RM12,614 selepas terpedaya dengan Macau Scam, kelmarin.

Mangsa wanita berusia 35 tahun menerima panggilan telefon daripada individu mendakwa sarjan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Individu itu mendakwa mangsa terbabit dengan kes penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, panggilan kemudian disambungkan kepada pegawai berpangkat Inspektor yang mana memberitahu mangsa mempunyai waran tangkap dan meminta memindahkan wang ke akaun bank untuk disiasat Jabatan Audit Negara.

"Disebabkan terlalu panik mangsa membuat bayaran kepada dua akaun bank berjumlah RM7,114 dan RM5,500," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa akhirnya sedar ditipu ketika mahu berjumpa dengan pegawai polis terbabit di IPK Pulau Pinang semalam.

"Mangsa menceritakan apa yang berlaku dan polis memberitahu mangsa sudah tertipu dengan helah suspek lalu meminta dia membuat laporan polis," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam tempoh empat hari, tiga kes penipuan Macau Scam membabitkan penjawat awam dilaporkan di daerah ini dengan kerugian keseluruhan RM222,574.

Disiarkan pada: April 30, 2020 @ 12:24pm
d