mutakhir

Upah lumayan angkut dadah RM750,000 [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

TERTARIK dengan upah ditawar antara RM1,000 hingga RM8,000 menyebabkan dua lelaki gelap mata dan sanggup mengambil risiko dengan menjadi penghantar dadah.

Bagaimanapun, sikap tamak pemandu dan kelindan lori itu yang berusia 35 tahun serta 29 tahun akhirnya bawa padah apabila mereka ditahan polis bersama 50,000 pil kuda dianggarkan bernilai RM750,000.

Kedua-duanya berasal dari Kelantan ditahan polis kira-kira 10 malam Sabtu lalu berhampiran Plaza Tol Telemong, Kuala Berang ketika menunggu pengedar mengambil bekalan berkenaan.

Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik berkata, polis yang melakukan rondaan Op Covid-19 sebelum itu ternampak lori suspek yang berhenti di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan sebelum menghampiri mereka.

Katanya, seorang daripada suspek menyedari kehadiran polis dan membaling sesuatu ke luar kenderaan yang kemudian didapati dadah.

"Anggota kemudian membuat pemeriksaan lanjut dan menemui dadah yang disimpan dalam penapis udara. Mereka mengaku mengambil upah membawa dadah itu dengan bayaran antara RM1,000 hingga RM8,000 untuk setiap perjalanan.

"Mereka ini penjual buah dan mengambil bekalan buah di Johor dan mengaku sudah tiga kali membawa dadah dari Kelantan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu pada Mac lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu hari ini.

Roslee berkata, siasatan juga mendapati bekalan barang larangan itu diperoleh pembekal dari negara jiran untuk edaran Terengganu dan Pahang.

"Sekiranya bekalan itu terlepas, ia boleh digunakan untuk kira-kira 2,000 penagih dengan setiap satu pil berharga RM15.

"Dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta negatif dadah. Mereka kini direman tujuh hari sehingga 2 Mei untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: April 30, 2020 @ 2:47pm
d