mutakhir

154 pelajar pulang dari luar negara positif Covid-19 [METROTV]

Oleh Shamran Sarahan

SERAMAI 154 pelajar Malaysia yang pulang dari luar negara didapati positif jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memastikan semua pelajar yang pulang ke Malaysia diambil swab dan dikuarantin terlebih dahulu.

"Kita dimaklumkan ramai lagi pelajar warganegara Malaysia yang masih di luar negara ingin pulang ke negara ini.

"Prosedur operasi standard (SOP) kita masih tetapkan iaitu mereka yang pulang perlu dikuarantin dan diambil swab," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Ditanya nasihat KKM terhadap pelajar dan pihak kedutaan yang menguruskan kepulangan pelajar dalam memastikan tiada penularan jangkitan Covid-19 di negara ini, Noor Hisham berkata, mereka yang ingin kembali ke Malaysia perlu mengambil langkah pencegahan.

"Sekarang ini kita tiada vaksin dan ubat untuk merawat Covid-19. Apa yang penting adalah mengambil langkah pencegahan," katanya.

Katanya, antara langkah pencegahan itu adalah jarak sosial yang selamat, mengamalkan kebersihan dengan sentiasa mencuci tangan serta menggunakan penutup mulut dan hidung.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 30, 2020 @ 6:01pm
    d