mutakhir

Abang tidak mengaku tetak adik

Oleh BERNAMA

PEKERJA syarikat jenama sukan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ipoh hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada adik kandungnya menggunakan sebilah parang, Jumaat lalu.

Azli Yusof, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Nazmi, 38, di dapur rumah di No 1720, Jalan Sekolah Rendah, Kampung Kota Setia, Perak Tengah, pada jam 5 petang..

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana daripada dua hukuman berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Naidatul Athirah Azman memohon mahkamah supaya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana dia abang kandung mangsa dan dikhuatiri akan mengganggu adiknya.

Bagaimanapun, peguam K Nathan yang mewakili tertuduh, merayu jaminan diberi dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Mei untuk sebutan semula kes.

Tertuduh kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Gajah untuk menghadapi pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dikenakan hukuman penjara tiga hari dari tarikh ditangkap iaitu pada Ahad lalu.

Majistret Nazratul Natrah Mohd Yusuf menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11 peraturan serupa yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fairoz Abd Mutalib manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Parveen Sharma Krishnan.

Disiarkan pada: April 30, 2020 @ 6:48pm
d