mutakhir

SOP baharu diumum dalam masa terdekat

Oleh Shamran Sarahan

GARIS panduan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu untuk semua sektor sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat ini akan diumumkan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia masih di peringkat perbincangan dan semua sektor perlu mematuhi SOP itu sebaik ia dikeluarkan.

"Empat tindakan dilaksanakan sepanjang tempoh PKP fasa satu hingga kini sudah memasuki fasa empat iaitu kawalan sempadan, kawalan pergerakan, penjarakan sosial dan amalan kebersihan diri.

"Kawalan sempadan amat penting dan PKP fasa empat ini kita memperketatkan lagi, tetapi dari segi kawalan pergerakan akan ada kelonggaran.

"Kita tengah bincang dan SOP akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Noor Hisham berkata, langkah kawalan sempadan dan PKP yang diperkenalkan kerajaan berupaya mengawal dan mengurangkan kes positif Covid-19.

Mengambil pengajaran dari negara lain yang menamatkan PKP dan kawalan sempadan, beliau berkata, jika PKP ditamatkan ia tidak bermakna kawalan sempadan juga ditamatkan sebaliknya perlu diperkukuhkan.

"Hari ini kita dapati kes positif dalam tempoh seminggu berkurangan dua angka. Justeru, kita harus kekalkan empat tindakan itu," katanya.

Katanya, kerjasama masyarakat dengan memainkan tanggungjawab sosial dan menjaga kebersihan diri amat diperlukan dalam usaha memastikan negara bebas jangkitan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 30, 2020 @ 6:52pm
    d