mutakhir

Hanya beroperasi tiga hari seminggu

Oleh Mohd Amin Jalil

KERAJAAN Negeri Sembilan memutuskan untuk memberikan kelonggaran kepada beberapa sektor ekonomi kembali beroperasi sepenuhnya bermula 2 Mei ini, tetapi dengan beberapa syarat.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkat, sektor ekonomi dibenarkan itu termasuk kedai barangan elektrik dan elektronik, kedai telekomunikasi serta alat ganti kereta dan motosikal.

Beliau berkata, selain itu kebenaran diberikan kepada klinik veterinar dan premis penjualan, ubat-ubatan dan keperluan berkaitan haiwan serta kedai barangan pembinaan (hardware).

"Bagaimanapun kebenaran operasi hanya ditetapkan setakat tiga hari dalam seminggu iaitu Rabu, Sabtu dan Ahad dari 9 pagi hingga 3 petang.

"Di samping itu, kami bersetuju industri kuari dibenarkan beroperasi tetapi tertakluk kepada kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di Bilik Gerakan, Wisma Negeri, Seremban, hari ini.

Aminuddin berkata, kebenaran itu dibuat selepas menyemak semula tatacara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa keempat seiring dengan keputusan dibuat di peringkat MITI dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bersidang pada Selasa lalu.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menilai semula peraturan berkenaan berdasarkan keperluan dari semasa ke semasa.

Disiarkan pada: April 30, 2020 @ 8:41pm
d