mutakhir

Bekalan tepung gandum mencukupi

Oleh Melvin Joni

BEKALAN tepung gandum mencukupi di Sarawak bagi memenuhi keperluan kegunaan sepanjang Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak, Datuk Stanley Tan berkata, jaminan itu diberikan oleh dua kilang pengeluar utama tepung gandum di Sarawak.

"Pengeluaran tepung gandum bagi kedua-dua kilang itu adalah sebanyak 3,000 metrik tan sebulan untuk menampung keperluan rakyat Sarawak," katanya.

Menurut Stanley, pengurusan kilang berkenaan memaklumkan bekalan bijirin gandum adalah mencukupi untuk menampung pusingan stok pengeluaran tepung selama tempoh tiga bulan.

Justeru, beliau berkata KPDNHEP Sarawak akan terus mempertingkatkan pemeriksaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit bagi memastikan bekalan barangan kawalan mencukupi bagi orang ramai membuat persediaan menjelang musim perayaan.

Sementara, Stanley berkata bagi tempoh 1 Januari sehingga 29 April ini, KPDNHEP Sarawak melaksanakan pemeriksaan ke atas 15,872 premis perniagaan meliputi bandar dan luar bandar.

Katanya, sebanyak 407 kes rekodkan dengan nilai rampasan sebanyak RM2.4 juta dan jumlah kompaun sebanyak RM85,650.00.

Sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian hotline kementerian di 1-800-886-800 atau layari http://e-aduan.kpdnhep.gov.my serta WhatsApp 019-2794317.

Orang ramai juga boleh hadir sendiri di mana-mana pejabat kementerian yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, bilik gerakan KPDNHEP Sarawak beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang setiap hari.

Disiarkan pada: May 1, 2020 @ 10:14am
d