mutakhir

Sambut tiga 'baby' Harimau Malaya

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

ZOO Taiping dan Night Safari (ZTNS), Taiping mencatat sejarah dengan menerima kelahiran tiga anak Harimau Malaya selepas kelahiran terakhir disambut, 11 tahun lalu.

Anak harimau itu lahir ketika hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dalam kenyataan berkata, ketiga-tiganya dilahirkan oleh Harimau Malaya berusia 11 tahun dan dalam keadaan baik dengan berat masing-masing antara 700 hingga 900 gram.

"Buat masa ini jantina masing-masing belum dapat dikenal pasti. Ini adalah kelahiran keempat yang disambut ZTNS selepas kelahiran terakhir pada 2009.

"Keseluruhan Harimau Malaya diuruskan ZTNS kini lapan ekor," kata kenyataan itu.

ZTNS menyediakan tempat khas untuk ibu harimau itu sesudah ia mengawan sejak awal Januari lalu dan kini disatukan dengan anak-anaknya dengan pemantauan lebih kerap.

"Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera Tigris Jacksoni adalah spesis haiwan yang hidup bersendirian, namun anak yang baru dilahirkan akan hidup bersama si ibu selama 18 bulan.

"Tempoh perceraian susu pula apabila anak mencapai umur tiga atau empat bulan," kata kenyataan yang memaklumkan kebajikan harimau berkenaan sentiasa diberi perhatian dengan diet mencukupi dan kandang baik untuk keselesaan.

Kerja-kerja menjaga kebajikan haiwan haiwan di ZNTS masih diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan meskipun zoo ditutup sepanjang PKP.

Disiarkan pada: May 1, 2020 @ 2:57pm
d