mutakhir

Warga emas hilang ditemui lemah

Oleh Baharom Bakar

LELAKI warga emas yang hilang sejak Rabu lalu, ditemui dalam dalam keadaan tidak bermaya dalam kawasan hutan di Kampung Bukit Diman, Ajil, Kuala Berang, semalam.

Mangsa, Taib Yaacob, 81, yang mengalami masalah pendengaran dan nyayuk dikatakan masuk ke dalam hutan di belakang rumahnya di Kampung Bukit Diman, pada 1.30 tengah hari Rabu lalu.

Kehilangan mangsa disedari cucunya berusia 20-an yang terus membuat laporan polis pada 2.30 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanafi Mohd berkata, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan sebaik menerima laporan mengenai kehilangan mangsa.

Beliau berkata, bagaimanapun SAR yang turut disertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta penduduk kampung ditangguhkan sementara disebabkan keadaan gelap.

"Kami memperluaskan kawasan pencarian sehingga 3 kilometer sebaik operasi disambung pada 8 pagi semalam.

"Mangsa yang mengalami masalah pendengaran dan nyanyuk selain pergerakan perlahan berikutan faktor usia lanjut ditemui dalam keadaan tidak bermaya pada 3.45 petang semalam," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hanafi berkata, mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk rawatan serta keadaannya dilaporkan stabil dan operasi SAR ditamatkan pada 4.30 petang.

Disiarkan pada: May 1, 2020 @ 3:45pm
d