mutakhir

Pasar Borong Bahau tutup 5 hari

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

PASAR Borong Bahau di Jempol akan ditutup selama lima hari bermula esok sehingga Rabu depan untuk dijalankan kerja sanitasi awam bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Jempol Syahrul Nizam Saleh berkata, penutupan pasar borong berkenaan diputuskan dalam mesyuarat JPBD semalam.

Menurutnya, seramai 58 pekerja di pasar borong berkenaan diarah menjalani saringan kesihatan selain pengambilan sampel untuk diuji.

"Bagi mengatasi masalah bekalan barang mentah selepas dua pasar di Bahau ditutup Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sudah diberi tanggungjawab bagi memastikan masalah bekalan barang mentah tidak berlaku.

"Buat masa ini, orang ramai boleh mendapatkan barang keperluan seperti sayur, ikan, ayam dan daging di Pasar Tani Kekal, Bandar Seri Jempol pada setiap Selasa dan Jumaat bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Syahrul Nizam yang juga Pegawai Daerah Jempol berkata, ketika ini bekalan barang mentah yang diambil dari Pasar Borong Kuala Lumpur tidak dibenarkan memasuki daerah ini dan diharapkan semua pihak dapat mematuhi larangan itu.

Dalam perkembangan lain, Syahrul Nizam berkata, bilangan kes positif Covid-19 di daerah ini kekal 13 orang.

Media sebelum ini melaporkan Pasar Awam Bahau ditutup selama 14 hari bermula 27 April hingga 10 Mei ini berikutan seorang peniaga disahkan positif Covid-19.

Saringan kesihatan dan pengambilan sampel turut dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Jempol ke atas peniaga, pekerja dan orang awam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 1, 2020 @ 5:43pm
    d