mutakhir

Pasar Borong Selayang masih dikawal ketat [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

SETIAP kenderaan yang memasuki Pasar Borong Selayang perlu berdepan pemeriksaan yang dijalankan anggota polis dan tentera.

Terdapat dua sekatan perlu ditempuhi iaitu kira-kira 200 meter sebelum tiba dan di hadapan pintu masuk Pasar Borong Selayang.

Usaha wartawan untuk melakukan tinjauan lebih dekat juga tidak berhasil apabila dihalang anggota keselamatan untuk menghampiri kawasan pasar borong.

Bagaimanapun, beberapa kenderaan kelihatan diparkir di bahu jalan iaitu luar kawasan dan kelihatan beberapa individu keluar masuk ke pasar borong.

Manakala, terdapat juga khemah dan pagar kawat duri yang dipasang dipercaya untuk mengelak orang awam memasuki tempat larangan.

Salah seorangnya dikenali Meng, 42 yang bekerja di pasar borong berkenaan berkata, dia dibenarkan masuk kerana mempunyai pas pekerja.

Namun, Meng berkata, dia tetap perlu menjalani pemeriksaan bagi memastikan tiada simptom seperti demam dan lain-lain lagi sebelum dibenarkan masuk.

"Setiap kali datang ke sini,saya perlu membawa pas dan mengisi borang diberikan oleh anggota keselamatan.

"Setiap kali datang begitu dan takut sebenarnya untuk ke sini," katanya.

Seorang lagi yang ditemui, Lee, 35, berkata, kedatangannya ke pasar berkenaan adalah untuk menyelesaikan urusan membabitkan pas pekerja.

"Saya datang untuk siapkan pas pekerja, itu saja. Selepas ini saya terus pulang ke rumah," katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2020 @ 1:19pm
d