mutakhir

PPM tahan penyeludup petrol

Oleh Abdul Rahemang Taiming

DUA lelaki yang membawa bekalan petrol sedikit demi sedikit untuk dikumpul di Pulau Kulapuan di Semporna, sebelum diseludup ke Filipina, ditahan Pasukan Polis Marin (PPM), 1.30 petang semalam.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Mohammad Pajeri Ali berkata, penahanan kedua-dua suspek yang juga warga tempatan berumur 19 dan 42 tahun dibuat hasil risikan serta maklumat awam.

"Kedua-dua suspek menaiki bot laju dari pekan Semporna ke pulau berkenaan dan selepas dipintas, kami menemui petrol dalam bot terbabit.

"Hasil soal siasat, kami menyerbu sebuah pondok di pulau berkenaan dan menemui bekalan petrol selain barang kawalan lain yang cuba di seludup ke Filipina," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Pajeri, pihaknya merampas 705 liter petrol, tiga tong gas cecair petroleum (LPG), dua bot laju dan tiga enjin sangkut bernilai kira-kira RM30,000.

Suspek dan barangan rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawasan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan, yang memperuntukkan denda RM1 juta dan tiga tahun penjara jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: May 2, 2020 @ 2:13pm
d