mutakhir

MyKad palsu itu gambar lama

Oleh Suraya Roslan

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mengesahkan gambar MyKad yang tular di media sosial adalah gambar lama yang dimuatnaik semula.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, satu laporan polis sudah dibuat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semalam atas percubaan mencemarkan nama baik agensi itu.

"KDN mengambil maklum mengenai hantaran di media sosial mengenai MyKad palsu itu.

"Semua kenyataan dan gambar yang dimuat naik diteliti serta disemak oleh kementerian melalui JPN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hamzah berkata, susulan laporan polis dibuat JPN, siasatan dan tindakan lanjut bakal diambil polis terhadap jenayah pemalsuan MyKad yang mencemarkan nama baik JPN.

"Gambar itu mempunyai kaitan dengan kes pemalsuan MyKad di Pulau Pinang pada 2019.

"Bagaimanapun, tiada gambar dan maklumat pemalsuan MyKad yang baru dapat dikenal pasti," katanya.

Menurutnya, polis sudah membuat tangkapan terhadap individu terbabit dengan kes pemalsuan MyKad di Pulau Pinang dan semua tertuduh sedang menjalani prosiding perbicaraan di mahkamah.

"Berikutan penularan gambar lama berkenaan, terdapat desakan beberapa pertubuhan dan individu tertentu menggesa kerajaan menukarkan MyKad sedia ada kepada yang baharu bagi menangani pemalsuan kad identiti itu.

"Dalam hal ini, JPN dari semasa ke semasa sentiasa mengkaji penambahbaikan dan pembaharuan terhadap MyKad khususnya daripada ciri keselamatan," katanya.

Katanya, JPN juga akan menambahbaik prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dengan mengetatkan proses semakan dan kelulusan dokumen pengenalan diri serta memantapkan lagi pemantauan sistem JPN.

"Kerajaan memandang serius kes pemalsuan MyKad yang membabitkan kakitangan JPN atau sindiket tertentu.

"Polis dan JPN akan terus bekerjasama melalui Ops Biru dan satu Pasukan Petugas Khas sudah ditubuhkan bagi menyiasat kes pemalsuan MyKad bagi memburu dalang terbabit.

"Kerajaan tidak akan sama sekali melindungi dan berkompromi terhadap sebarang salah laku berkenaan perkara ini," katanya.

Hamzah berkata, pihaknya memohon orang ramai menghentikan segera penyebaran mesej bersifat berita palsu di media sosial bagi mengelak kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

"Tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Bagaimanapun, orang ramai yang mempunyai maklumat terkini mengenai sindiket atau kegiatan pemalsuan MyKad boleh terus melaporkan maklumat kepada KDN, polis atau JPN secara langsung," katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2020 @ 2:15pm
d