mutakhir

Ayam Omar dibaham sawa

Oleh Ahmad Ismail

"LEBIH 20 ayam ternakan saya dibaham ular sawa sejak pertengahan tahun lalu. Bukan seekor sawa yang mengganggu, sebaliknya ada kalanya sehingga tiga ekor."

Itu luahan warga emas, Omar Salleh, 68, yang menternak ayam kampung di Kampung Jawa di Segamat.

Omar berkata, reptilia terbabit mungkin datang dari kawasan belukar di belakang rumahnya.

"Ia biasanya datang pada awal pagi. Pada kejadian jam 4 pagi tadi, saya bangun untuk bersahur sebelum terdengar bunyi bising daripada reban ternakan.

"Saya keluar dan terkejut mendapati reptilia itu sedang membaham seekor ayam," katanya.

Menurut Omar, selepas disuluh pada bahagian mata, reptilia itu meluahkan ayam berkenaan dan bergerak ke arahnya.

Omar berkata, dia yang bersenjatakan parang terus menetak reptilia terbabit menyebabkannya mati.

"Jaring dipasang di sekitar reban juga gagal menghalang sawa ini daripada membaham ternakan.

"Ternakan hanya berbaki 10 ekor saja, ia cukup untuk dijadikan lauk kami sekeluarga sepanjang Aidilfitri ini," katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2020 @ 6:10pm
d