mutakhir

Agih kit ujian di Sabah, Sarawak dan sempadan

Oleh Shamran Sarahan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengagihkan 50,000 kit ujian pengesanan pantas antigen yang dibeli dari Korea Selatan ke Sabah dan Sarawak serta pintu masuk utama negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kit ujian itu diagihkan masing-masing 10,000 ke Sabah dan Sarawak, manakala 15,000 untuk sempadan darat di Johor Bahru.

Menurutnya, sebanyak 15,000 diagihkan di pintu masuk utama negara di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

"Itu untuk peringkat pertama. Bagi peringkat kedua mungkin kita bakal terima lagi 100,000 kit ujian berkenaan minggu depan yang akan diagihkan di klinik kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, katanya, KKM sudah berbincang dengan China mengenai vaksin untuk virus Covid-19.

"Kajian mereka sekarang pada fasa kedua yang dijangka boleh selesai pada November atau Disember ini.

"Apabila selesai fasa kedua kita akan melaksanakan kajian fasa ketiga iaitu melihat kepada keberkesanan vaksin itu dalam manusia.

"KKM sudah berbincang dengan mereka menerusi dua sidang video dan mereka bersetuju negara kita boleh dijadikan tempat penyelidikan untuk kajian fasa ketiga. Kita tunggulah keputusan laporan ujian fasa kedua sebelum kita boleh teruskan ke fasa ketiga," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 2, 2020 @ 8:45pm
    d