mutakhir

Padah curi kambing

Oleh Nur Izzati Mohamad

MEMECAH masuk kandang dan menyumbat masuk lapan kambing dalam but kereta, kemudian menjualnya kepada peniaga di pasar dekat Sungai Petani, Kedah.

Itu tindakan tiga lelaki apabila perbuatan mereka terbongkar dan dicekup polis di tepi jalan berhampiran sebuah pasar raya di Bertam, Kepala Batas, Tasek Gelugor, kira-kira 4 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemilik berusia 23 tahun menyedari kandang kambing miliknya di Tasek Gelugor dipecah masuk Khamis lalu kira-kira 9 malam selepas mendapati pagar dalam keadaan terbuka.

"Mangsa terus membuat semakan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasangnya dan mendapati tiga lelaki mencuri lapan kambing dengan menyumbat masuk haiwan itu ke dalam but kereta Toyota Vios dan seterusnya melarikan diri.

"Dia kemudian terus membuat laporan polis untuk tindakan lanjut dan memberitahu jumlah kerugian yang dialaminya sekitar RM8,000," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Gelagat tiga suspek yang mencuri lapan kambing itu turut tular di laman sosial Facebook.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, melalui rakaman CCTV itu polis mengenal pasti wajah suspek terbabit sehingga tertangkapnya mereka bertiga.

"Hasil soal siasat mendapati mereka mengaku melakukan kegiatan itu dan menjual kambing yang dicuri di sebuah pasar di Sungai Petani manakala kereta yang digunakan mereka ditinggalkan di sebuah kampung di Baling.

"Ketiga-tiga suspek berusia 25, 54 dan 62 tahun ini turut mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan ketiga-tiga mereka juga akan disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan/ 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Disiarkan pada: May 2, 2020 @ 9:49pm
d