mutakhir

Lelaki maut motosikal dirempuh

Oleh Siti Rohana Idris

SEORANG lelaki maut dalam kemalangan jalan raya selepas terlanggar sebuah motosikal sebelum terpelanting merempuh kenderaan lain di Kampung Banggol, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu, petang hari ini.

Mangsa, Long Hairul Nahan Long Chik, 21, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, dalam kejadian 6.20 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dari arah Kedai Buloh menghala ke Wakaf Mek Zainab.

"Apabila sampai di tempat kejadian berhampiran Masjid Banggol, secara tiba-tiba datang sebuah motosikal yang ditunggangi seorang lelaki dari gerai menjual minuman di sebelah kiri.

"Pemandu motosikal itu kemudiannya bergerak ke tengah jalan dengan tujuan melintang jalan untuk menghala ke Kampung Kedai Buloh dan mangsa tidak sempat mengelak lalu terlanggar dengan kenderaan berkenaan yang ketika itu berhenti di tengah jalan.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa terpelanting dan terkena bahagian depan kereta Proton Wira dari arah Penambang bergerak menuju balik ke Kampung Kedai Buloh," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rahim berkata, mangsa yang bekerja sebagai anak kapal dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.

Menurutnya, usaha mengesan penunggang motosikal yang dipercayai menyebabkan perlanggaran itu dibuat kerana individu terbabit melarikan diri dengan meninggalkan motosikalnya jenis Suzuki ShortGun.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2020 @ 11:34pm
d