mutakhir

Duta Arab Saudi kagumi APM

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Peranan petugas barisan hadapan negara termasuk anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam menangani pandemik Covid-19 tidak dapat disangkal.

Tugas itu diperjelaskan kepada Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Angkatan APM, PPj (PA) Ghazali Abd Rahman di Pejabat Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur semalam.

Melalui perjumpaan itu, Ghazali menerangkan tugasan dan tanggungjawab APM membantu polis, tentera serta anggota perubatan di pusat kuarantin serta lokasi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKDP) di seluruh negara.

Pada majlis sama, Mahmoud Hussien turut memaklumkan sumbangan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud membabitkan peruntukan RM5.7 juta (5 juta Saudi Riyal) kepada 18 negara termasuk Malaysia untuk berbuka puasa dan bakul bantuan Ramadan.

Kedutaan Arab Saudi di Malaysia melalui Pejabat Atase Agamanya akan mengagihkan kira-kira 15,000 pek makanan Iftar Khaadimul Haramain Al-Syareefain (IFTARKHS) di seluruh negara sempena Ramadan.

Agihan kali ini ditumpukan kepada petugas barisan hadapan dalam kalangan petugas kesihatan, keselamatan, petugas media, pusat kuarantin dan mereka yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Pek makanan berbuka itu akan diselaraskan Pertubuhan Ilmuan Malaysia (iLMU) dengan kerjasama strategik CDERT Ohhsem Network - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang akan menguruskan aspek agihan," katanya.

Sumbangan itu turut diagihkan kepada rumah anak yatim, komuniti Rohingya, masyarakat orang asli dan komuniti anak kelahiran Arab Saudi.

Mahmoud Hussien Saeed Qattan, berkata IFTARKHS adalah sumbangan tahunan Raja Arab Saudi untuk diagihkan ke negara Islam di seluruh dunia.

"Sumbangan itu atas keprihatinan Raja Salman terhadap situasi negara Islam ketika ini.

"Kedutaan turut mengagihkan 1,000 bungkusan bantuan makanan seperti beras, minyak, gula, tepung dan lain-lain," katanya selepas merasmikan majlis pelancaran IFTARKHS.

Turut hadir menyaksikan penyerahan itu adalah Pengerusi iLMU, Dato Ahmad Tajuddin Idris, Kolonel Bersekutu (PA) APM, Dato Fyzal Fauzi, Kolonel Bersekutu (PA) APM, Dato Mohd Bainuri Aris, Ketua Pegawai Eksekutif ZeptoExpress, Mohd Izzairi Yamin dan Atase Agama Arab Saudi, Syaikh Abdul Rahman Ibrahim Al-Rubaian

Dia berkata, pek dan bungkusan itu akan disalurkan terus ke lokasi masing-masing melalui syarikat penghantaran tanpa perlu berkumpul untuk menerima bantuan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada badan-badan yang terlibat dalam membantu pihaknya memudahkan pengagihan IFTARKHS.

Dalam majlis itu pihak kedutaan turut menyerahkan 300 bungkusan bantuan makanan kepada Badan Kebajikan Orang Asli Islam Malaysia (BAKOAIS).

Pada 23 April lalu, Raja Salman bersetuju menyediakan peruntukan tambahan lima juta Riyal (bersamaan kira-kira RM5.72 juta) bagi menaja program berbuka puasa pada tahun ini di 18 negara Islam.

Program berkenaan menyasarkan tajaan untuk sejuta umat Islam yang kurang berkemampuan di seluruh dunia di tengah-tengah penularan wabak Covid-19.

Disiarkan pada: May 2, 2020 @ 11:38pm
d