mutakhir

Ujian Ramadan rumah dilanda banjir kilat

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

BEBERAPA kawasan di daerah Jempol, Negeri Sembilan dinaiki air sehingga ada penduduk terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementera (PPS) selepas hujan lebat bermula 7.45 malam tadi.

Di Kampung Datok Johan, seramai 60 penduduk daripada 19 keluarga dipindahkan ke balai raya kampung berkenaan selepas kediaman masing-masing dinaiki air sehingga paras lutut.

Rahimah Hassan, 55, berkata dia dikejutkan anaknya pada 2 pagi selepas rumah mereka dimasuki air.

Katanya, air masuk dengan laju menyebabkan tidak sempat memindahkan barang didalam rumah ketempat selamat.

"Sejak tinggal di sini tujuh tahun lalu, ini kejadian pertama berlaku dan bertambah perit ketika sedang menjalani ibadah puasa dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ).

"Perabot, barang elektrik tidak dapat diselamatkan manakala dua buah kereta tidak dipastikan lagi kerosakannya malah tidak dapat menganggarkan kerugian dialami," katanya ketika ditemui.

Rahimah berkata dia dan anaknya dibawa ke PPS oleh pasukan menyelamat pada 2.30 pagi dan air didalam rumah ketika itu mencecah paras lutut.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung ( MPKK) Mohd Nor Yahya berkata kesemua kebajikan penduduk terjejas dan berada di PPS dipantau oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Jempol.

Katanya penduduk akan berada di PPS sehingga dibenarkan pulang dan ketika ini masih terdapat rumah yang digenangi air.

"Kali terakhir banjir berlaku kira-kira lapan tahun lalu dan dua hari lalu hujan lebat berlaku namun air tidak masuk ke dalam rumah hanya sekitar halaman sahaja," katanya.

Manakala Penyelaras Dewan Undangan Negeri ( DUN) Serting, Abd Rahman Ramli yang meninjau mangsa banjir di PPS berkata pihaknya sudah menghubungi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengenal pasti punca banjir berkenaan.

Katanya ada aduan daripada penduduk yang mendakwa ia berpunca daripada Sungai Serting yang tidak diuruskan selain terdapat parit yang sudah lama terbiar.

"Saya juga berharap, mereka yang berada di PPS dapat menjaga kebersihan diri dengan sebaik mungkin selain melakukan penjarakan sosial," katanya.

Di Felda Pasoh Tiga pula, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat ( BBDP) Seri Jempol menerima panggilan pada 9.23 malam untuk menyelamatkan dua keluarga yang terperangkap dalam banjir.

Kesemua mangsa berjaya dipindahkan ke tempat selamat termasuk ke rumah ahli keluarga yang tinggal berdekatan.

Di Kampung Dusat, anggota bomba dari BBDP Seri Jempol turut dipanggil bagi menyelamatkan satu keluarga yang terperangkap pada 2.40 pagi selepas kediaman mereka dinaiki air sedalam 1 meter.

Sementara itu di Bahau, banjir kilat turut melanda Rumah Murah Bahau, Taman Meranti dan Kampung Batu Bakar dengan kebanyakannya sudah tiga kali dilanda banjir kilat dalam tahun ini sahaja.

Disiarkan pada: May 3, 2020 @ 11:35am
d