mutakhir

PM ucap takziah kepada keluarga Safwan

Oleh BERNAMA

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini, mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwan Mohamad Ismail yang maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika bertugas mengawal sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan.

Muhyiddin menerusi akaun Facebooknya menzahirkan rasa sedih dengan berita berkenaan dan menganggapnya satu kehilangan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Saya bagi pihak kerajaan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan PDRM. Saya berharap tragedi ini tidak mematahkan semangat anggota PDRM dan frontliners (barisan hadapan) yang lain dalam menjalankan tugas.

"Saya mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman," katanya sambil turut menyedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham.

Dalam kejadian jam 2.11 pagi tadi, Allahyarham Safwan, 31, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas dirempuh oleh sebuah pacuan empat roda disyaki dipandu oleh pemandu mabuk dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya LEKAS, Kajang.

Susulan rempuhan itu, kenderaan pacuan empat roda terbabit turut terbalik dan menghempap mangsa yang ketika itu bertugas di sekatan jalan raya Op Covid-19 berhampiran plaza berkenaan.

Disiarkan pada: May 3, 2020 @ 2:25pm
d