mutakhir

Gajah tiga beranak ganggu penduduk

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

LEBIH 1,200 penduduk di lima kampung di mukim Jambu Lawar, Machang, ketakutan selepas kemunculan tiga ekor gajah di kampung berkenaan, pagi kelmarin.

Binatang itu turut memusnahkan tanaman pisang penduduk selain memasuki kawasan perkarangan masjid sehingga simen penutup longkang pecah dalam kejadian pada 5.20 pagi itu.

Berikutan itu, penduduk di kampung berkenaan yang kebanyakannya bekerja sebagai penoreh getah tidak ke kebun kerana bimbang binatang itu muncul semula.

Kehadiran gajah yang dipercayai tiga beranak itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) Masjid Mukim Batu 30.

Berdasarkan CCTV berkenaan, tiga ekor gajah dilihat datang dari arah jalan raya dan memasuki perkarangan masjid, sebelum seekor daripadanya terjatuh ke dalam longkang sedalam 10 meter.

Penduduk, Razim Abdul Rashid, 25, yang melihat kehadiran gajah berkenaan berkata, ketika kejadian dia sedang menunggu waktu Subuh sebelum terdengar bunyi yang kuat dan pelik.

"Pada mulanya saya tidak mengendahkannya namun sebaik terdengar bunyi kali kedua, saya membuka pintu dan terkejut melihat seekor gajah yang sangat besar berada di hadapan rumah saya yang juga di hadapan masjid.

"Pada masa sama, saya melihat dua gajah lain berada tidak jauh sebelum semua binatang itu masuk semula ke dalam kebun," katanya ketika ditemui di masjid berkenaan, hari ini.

Penghulu Mukim Jambu Lawar, Che Sharif Umar, berkata, akibat kemunculan gajah berkenaan, lebih 1,200 penduduk di empat kampung iaitu Kampung Batu 30, Pulau Tiga, Pangkal Amik, Pangkal Kepah dan Gosong terjejas dan ketakutan.

"Penduduk bukan sahaja takut untuk keluar ke kebun dan menoreh getah, untuk keluar rumah siang hari pun bimbang selagi gajah itu belum ditangkap.

"Ini kejadian pertama kemunculan gajah di kampung ini. Jika sebelum ini kami hanya mendengar kemunculan gajah di kampung yang terletak kira-kira tiga kilometer dari sini.

"Kami sudah membuat laporan dan berterima kasih kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kerana bertindak cepat selain memantau kawasan kami untuk menjejaki gajah berkenaan," katanya.

Sementara itu, Jabatan Perhilitan Kelantan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sudah menerima aduan berhubung kemunculan gajah itu dan menghantar enam anggota dari Unit Gajah dihantar ke lokasi untuk tindakan kawalan.

Katanya, gajah berkenaan sering muncul atau keluar ke kampung pinggir hutan simpan memandangkan Kampung Batu 30 bersebelahan dengan Hutan Simpan Ulu Sat iaitu kurang lima kilometer (KM).

"Terdapat banyak aktiviti dan gangguan terhadap hutan simpan sejak 10 tahun lalu seperti pembinaan lebuh raya, aktiviti pertanian dan pembukaan kawasan menyebabkan gajah itu keluar," katanya.

Disiarkan pada: May 3, 2020 @ 3:23pm
d