mutakhir

Nestlé lanjutkan tempoh peraduan

Oleh Mahaizura Abd Malik

NESTLÉ Malaysia melanjutkan lagi tempoh Peraduan Nestlé Gaji Seumur Hidup hingga penghujung bulan ini serta menambah 300 lagi hadiah wang tunai bagi meningkatkan peluang rakyat Malaysia memenanginya.

Dengan lanjutan tempoh peraduan hingga 31 Mei ini, rakyat Malaysia berpeluang memenangi lima lagi hadiah 'Gaji Setahun' bernilai RM3,000 sebulan selama 12 bulan dan 200 lagi Hadiah Mingguan RM500 setiap satu.

Selain itu, Nestlé menambah satu lagi kategori hadiah yang menawarkan 100 hadiah bonus 'Gaji Sebulan' bernilai RM3,000 setiap satu.

Secara keseluruhan, seramai 17 pemenang hadiah 'Gaji Setahun' bernilai RM36,000 berpeluang untuk memenangi dua hadiah utama 'Gaji Seumur Hidup'.

Sebagai tanda sokongan kepada masyarakat yang terjejas dengan pandemik Covid-19, Nestlé akan menyalurkan sumbangan tunai 'Gaji Setahun' bernilai RM36,000 kepada badan amal yang dicalonkan oleh setiap seorang daripada 17 finalis peraduan ini.

Jumlah sumbangan juga akan digandakan kepada RM72,000 bagi badan amal yang dicalonkan oleh dua pemenang 'Gaji Seumur Hidup' dengan jumlah keseluruhan bernilai RM684,000 yang akan diserahkan pada majlis penyampaian hadiah utama.

Dalam pada itu, Nestlé turut mengumumkan enam pemenang 'Gaji Setahun' pusingan pertama yang juga finalis 'Gaji Seumur Hidup'.

Antara enam finalis ini ialah Yong Chong Lei dari Perak, Azahari Salleh (Terengganu), Amirrul Hafiz Razak (Pahang), Nor Safiah Tajuddin (Selangor) dan E Khalaaivaaney (Negeri Sembilan)

Amirrul Hafiz, 32, dari Temerloh berkata, dengan wang kemenangan itu, dia dapat membawa ibu bapanya menunaikan umrah.

"Dengan wang hadiah ini, saya akhirnya dapat merealisasikan impian seumur hidup saya untuk menghantar ibu bapa menunaikan ibadah umrah.

"Saya dan isteri saya juga sedang menantikan kelahiran anak sulung kami pada September dan wang ini pasti membantu kami. Terima kasih Nestlé, kerana memberi saya peluang ini," katanya.

Sehubungan itu, mereka yang berminat untuk menyertai masih berkesempatan dengan hanya membeli produk Nestlé bernilai sekurang-kurangnya RM15 dalam satu resit dan menjawab satu soalan mudah.

Penyertaan boleh dibuat menerusi WhatsApp serta pengguna boleh juga menyimpan resit mereka dan menghantar penyertaan melalui pos.

Disiarkan pada: May 3, 2020 @ 9:52pm
d