mutakhir

Takziah keluarga arwah Safwan - Agong, Raja Permaisuri

Oleh BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail.

Istana Negara dalam satu kenyataan malam ini memaklumkan, Seri Paduka berdua turut menzahirkan kesedihan dengan pemergian Allahyarham Safwan, dan berharap agar seluruh keluarganya bersabar dan tabah menghadapi dugaan ini.

"Jasa, khidmat serta bakti Allahyarham sebagai anggota Polis Diraja Malaysia amat dihargai oleh Seri Paduka Baginda berdua.

"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin," menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian 2.11 pagi hari ini, Allahyarham Safwan, 31, meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala dan badan, selepas dirempuh pacuan empat roda dipandu pemandu disyaki mabuk dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya (LEKAS), di Kajang.

Susulan rempuhan itu, kenderaan pacuan empat roda terbabit turut terbalik dan menghempap mangsa, yang ketika itu bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19, berhampiran plaza berkenaan.

Disiarkan pada: May 3, 2020 @ 10:55pm
d