mutakhir

Etnik Rohingya dah jadi nelayan, rancang tubuh persatuan

Oleh Nor Farhani Che Ad

KERAJAAN diminta mengambil tindakan tegas terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang didapati semakin berani melanggar undang-undang dan merampas hak nelayan tempatan.

Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Che Ani Mat Zain berkata, ia termasuk kegiatan etnik Rohingya yang mula dikesan turut menjadi nelayan di negara ini.

Katanya, kegiatan nelayan PATI dan etnik Rohingya ternyata memberi kesan terhadap aktiviti penangkapan hasil laut nelayan tempatan sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

"Jaring berasa bimbang dan kesal apabila menerima banyak aduan daripada nelayan pantai di Semenanjung tentang kehadiran golongan PATI dan kini etnik Rohingya yang menangkap ikan.

"Golongan ini dikesan mempunyai sampan dan menjalankan aktiviti memukat sehingga mengganggu sumber pencarian nelayan tempatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Che Ani berkata, golongan itu turut didakwa menceroboh kawasan paya bakau dengan menebang pokok bakau dan membina rumah.

Katanya, golongan itu juga menimbulkan kebimbangan nelayan tempatan apabila ada yang bersikap agresif seperti ahli kumpulan samseng.

"Di Pulau Pinang, terdapat 40 pemilik sampan yang merancang menubuhkan Persatuan Nelayan Rohingya Pulau Pinang (kawasan Teluk Kumbar) yang jelas melanggar Akta Persatuan Nelayan 1971.

"Penguatkuasaan yang kurang tegas juga dibimbangi menyebabkan penyeludupan pelarian lebih senang dilakukan terutama di perairan Kedah dan Perlis," katanya.

Beliau berkata, tindakan drastik perlu diambil bagi membendung kebanjiran golongan berkenaan ke dalam negara yang secara tidak langsung menjejaskan ekonomi penduduk tempatan termasuk nelayan.

Disiarkan pada: May 4, 2020 @ 1:59pm
d