mutakhir

Penghuni pondok bakal dapat rumah

Oleh Omar Ahmad

MAJLIS Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan mendapatkan kediaman bagi menempatkan empat beranak yang tinggal di pondok buruk berdekatan tokong di Jalan Lumba Kuda, Johor Bahru.

Ketua Penolong Pengarah MAINJ, Khairul Nizam Mat Said berkata, dengan bantuan pihak Setiausaha Kerajaan Johor (SUKJ) Bahagian Perumahan, keluarga Muhamad Farid Ibrahim, 34, itu akan ditempatkan di Taman Cendana, Pasir Gudang.

Katanya, MAINJ juga akan menanggung bayaran sewa bulanan rumah keluarga terbabit selama dua tahun.

"Untuk bantuan awal, kami menyumbangkan bantuan segera RM500. Kita akan usahakan daripada segi bayaran sewa bagi membolehkan keluarga ini berpindah ke rumah yang lebih selesa.

"Kawasan itu dipilih kerana pihak kami dimaklumkan Muhamad Farid dan isterinya akan ditawarkan kerja di cawangan Pasaraya Econsave," katanya ketika ditemui ketika meninjau keluarga itu hari ini.

Sementara itu, Muhamad Farid berkata. dia berterima kasih kepada pihak yang membantunya.

"Saya bersedia untuk berpindah asalkan isteri serta anak-anak dapat kehidupan seperti orang lain dan saya juga dapat bekerja," katanya.

Semalam, nasib Muhamad Farid, isteri dan dua anak berusia 16 dan sembilan tahun itu mendapat perhatian selepas lebih setahun tinggal di pondok buruk berdekatan tokong di situ.

Empat beranak itu, hanya makan sekali sehari sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana tiada pendapatan apabila Muhamad Farid yang bekerja sebagai mekanik hilang punca pendapatan.

Disiarkan pada: May 4, 2020 @ 2:49pm
d