mutakhir

Penjara 30 hari akibat lawan polis

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

MEKANIK dijatuhi hukuman penjara 30 hari oleh Mahkamah Majistret Bahau, Jempol, hari ini selepas didapati bersalah mengamuk dan bertindak agresif ketika diperiksa polis pada 28 April lalu.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman ke atas R Arumugam, 51, dari FELDA Palong selepas tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 3.30 petang 28 April lalu didapati dengan sengaja menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugasnya apabila tidak memberhentikan kenderaan dinaiki untuk diperiksa polis di sekatan jalan raya (SJR) di hadapan Taman Sornam, Bahau.

Anggota polis bertugas di SJR itu mengarahkan tertuduh berhenti di tepi jalan bagi tujuan pemeriksaan, sebaliknya tertuduh memecut ke arah Bahau sebelum anggota polis mengejar tertuduh dan berjaya ditahan di hadapan pasar raya.

Tertuduh enggan memberi kerjasama serta mempertikaikan kenapa perlu berhenti di SJR untuk diperiksa.

Tertuduh kemudian bertindak agresif dan mengamuk sebelum ditahan anggota polis.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: May 4, 2020 @ 3:14pm
d