mutakhir

544 premis di Sabah dinyah cemar

Oleh Abdul Rahemang Taiming

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah melakukan nyah cemar ke atas 544 premis di negeri ini setakat hari ini.

Pengarah JBPM Sabah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, operasi nyah cemar itu membabitkan hampir keseluruhan daerah termasuk kawasan yang dikategorikan sebagai Zon Hijau.

Menurutnya, daripada jumlah itu 125 premis di tiga daerah Zon Merah iaitu masing-masing di Tawau (57) Lahad Datu (53) dan Kota Kinabalu (15) sudah menjalani proses nyah cemar bangunan kerajaan, pusat komersil, pasar awam dan rumah ibadat.

"Selain itu, sejumlah 374 premis lagi di kawasan zon kuning membabitkan 11 daerah di Sabah manakala selebihnya 45 premis masing-masing di Kuala Penyu (41) dan empat premis di Tenom yang dikategorikan sebagai kawasan Zon Hijau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan peralatan dan barang keperluan Covid-19 di Balai Bomba Tawau hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarulzaman menjelaskan lebih 3.5 tan peralatan dan barang keperluan Covid-19 itu diterbangkan khas menggunakan helikopter dari Kota Kinabalu ke Tawau sebelum diagihkan di empat buah balai bomba iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna.

Mengenai sambutan Hari Bomba Sedunia 2020 hari ini, beliau mengingatkan semua anggota bomba supaya kekal komited dalam menjalankan tugas disamping mengamalkan penjarakan sosial serta mengutamakan kebersihan.

"Kita belum lagi menang dan berjaya sepenuhnya, maka kita wajar usaha bersama barisan hadapan mengekang penularan wabak Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 4, 2020 @ 4:13pm
    d