mutakhir

Pencuri 'kantoi' nombor plat motosikal dicam pekerja mangsa

Oleh Nur Izzati Mohamad

POLIS menyelesaikan enam kes kecurian sekitar Tasek Gelugor dengan penahanan dua suspek.

Kedua-dua suspek berusia 30 dan 32 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan pada jam 9.30 pagi di Lubuk Meriam dan Pokok Sena, dekat Tasek Gelugor.

Harian Metro difahamkan, kedua-dua suspek dikesan sebelum ditangkap rentetan seorang pekerja mangsa mengecam nombor motosikal dinaiki mereka ketika melakukan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 47 tahun yang mendapati kenderaannya dipecah masuk.

"Wanita itu meninggalkan keretanya dalam keadaan enjin masih hidup untuk masuk mengambil payung di dalam kedai miliknya. Seorang daripada dua lelaki menaiki motosikal dilapor masuk ke dalam keretanya itu dan melarikan beg tangan serta telefon bimbit miliknya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, bagaimanapun, pekerja mangsa sempat mengecam nombor pendaftaran motosikal dinaiki suspek dan ia menjadi petunjuk kepada polis untuk mengesan mereka.

Noorzainy berkata, hasil soal siasat ke atas dua suspek, mereka mengaku terbabit dengan kegiatan curi itu termasuk beberapa kejadian lain di daerah berkenaan.

"Penahanan dua suspek dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes kecurian," katanya.

Katanya, polis turut merampas motosikal suspek bersama pakaian yang digunakan ketika mereka melakukan kegiatan jenayah.

"Ujian saringan awal air kencing yang dilakukan ke atas mereka berdua juga positif dadah. Kedua-dua suspek kini direman sehingga Khamis untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: May 4, 2020 @ 6:03pm
d