mutakhir

8 peniaga Pakistan 'cekik darah' didenda

Oleh Yusmizal Dolah Aling

LAPAN pemilik perniagaan bukan warganegara dikenakan tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan kerana dikesan melakukan beberapa kesalahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 hingga 4 yang bermula sejak 18 Mac lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, enam pemilik perniagaan warga Pakistan itu dikenakan kompaun keseluruhan berjumlah RM6,000 atas kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP2011) kerana gagal mempamerkan tanda harga pada barangan dijual.

"Dua lagi peniaga yang juga warga Pakistan masing-masing masih dalam siasatan bagi kesalahan menjual gas cecair petroleum (LPG) atau gas memasak tanpa lesen mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB1961) serta Akta Perlindungan Pengguna 1999 (APP1999) kerana kesalahan memberi gambaran harga mengelirukan kepada pengguna," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, daripada pemantauan dan pemeriksaan dilakukan KPDNHEP Kelantan ke atas 10,557 premis perniagaan termasuk pemborong di negeri itu setakat ini, sebanyak 21 premis perniagaan runcit dikesan dimiliki oleh bukan warganegara.

"Namun kita percaya jumlahnya lebih banyak lagi. Justeru, penguat kuasa KPDNHEP akan terus mempergiatkan usaha memantau dan melakukan pemeriksaan secara berterusan demi menjaga kepentingan pengguna," katanya.

Beliau berkata, isu peniaga runcit dan borong bukan warganegara bukan saja berlaku di Kelantan, tetapi juga di seluruh negara dan penguatkuasa KPDNHEP sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membanteras kegiatan perniagaan yang menindas pengguna.

Katanya, KPDNHEP tidak akan berkompromi terhadap peniaga yang cuba mengambil kesempatan sehingga menindas pengguna termasuk mengaut keuntungan berlebihan dan tidak munasabah dengan menjual barangan pada harga tinggi, terutama ketika negara sedang melalui tempoh PKP bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Media sebelum ini melaporkan, Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) mendakwa menerima hampir 300 aduan berhubung kenaikan harga barangan dapur yang dijual di kedai runcit yang diusahakan warga asing.

Yang Dipertua PPIK Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani dilaporkan berkata, pihaknya menerima hampir 300 aduan berhubung kenaikan harga barangan dapur yang dijual di kedai runcit diusahakan peniaga bukan warganegara di sekitar Kota Bharu, Kelantan, yang kebanyakannya warga Pakistan dan Indonesia.

Disiarkan pada: May 4, 2020 @ 7:22pm
d