mutakhir

Dicekup ketika leka bungkus dadah

Oleh Hamzah Osman

EMPAT lelaki dipercayai 'tokan' ditahan polis ketika leka membungkus dadah di sebuah rumah di Kampung Tanjung di Langkawi, hari ini.

Dalam serbuan 12.01 tengah malam itu, suspek berusia antara 21 dan 29 tahun.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ketika kejadian, pihaknya mendapati empat lelaki duduk di lantai dan dipercayai sedang membungkus dadah.

Beliau berkata, sebaik menyedari kehadiran polis, mereka bertindak agresif dan cuba melarikan diri.

"Bagaimanapun, mereka berjaya ditahan.

"Pemeriksaan menemukan heroin seberat 38.22 gram (g) dan syabu seberat 0.33 g di atas lantai," katanya ketika dihubungi.

Mohd Iqbal berkata, semakan mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

"Ujian saringan air kencing turut mendapati kesemua suspek positif dadah jenis morfin.

"Soal siasat ke atas suspek mengaku mendapat bekalan dadah daripada seorang wanita dikenali Mas di rumah kosong di kampung berkenaan," katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 10:11am
d