mutakhir

'Mahu dapatkan RM10 pun susah'

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

"JIKA diikutkan memang tiada penumpang tetapi saya akan tetap menyediakan perkhidmatan beca kerana hanya itu sumber pendapatan saya," kata Abdul Jalil A Bakar, 61, dari Kampung Chendering seorang daripada 10 penarik beca yang mula beroperasi di sekitar Pasar Kedai Payang 2 (PKP2), Kuala Terengganu susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ditemui, hari ini.

Abdul Jalil atau lebih mesra dipanggil Pak Jalil berkata, dia menjalankan perkhidmatan itu sejak 30 tahun lalu dan pertama kali terpaksa memberhentikan perkhidmatan lebih sebulan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sekarang PKPB dan ramai orang sudah keluar dan perniagaan di PKP2 juga beroperasi sejak semalam.

"Sebab itu kami juga menjalankan perkhidmatan itu seperti biasa namun sehingga 11 pagi tiada lagi penumpang yang menggunakan perkhidmatan kami.

"Seramai lima hingga tujuh penarik beca yang sudah menjalankan perkhidmatan di PKP2 sejak PKPB berkuat kuasa," katanya.

Tambahnya, sambutan terhadap perkhidmatannya itu semakin menurun dan dijangka lebih teruk sejak PKP berkuat kuasa.

"Pengunjung pasar itu sudah tidak berminat dan tidak menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan seperti 20 tahun lalu.

"Mahu dapatkan RM10 pun susah dan kadang-kadang balik tanpa pendapatan langsung kerana ketiadaan penumpang," katanya.

Menurutnya, dia akan meneruskan perkhidmatan itu selagi mempunyai keupayaan biarpun sudah tidak mendapat sambutan.

"Perkhidmatan beca itu satu-satunya pekerjaan saya oleh itu suka atau tidak saya akan tetap meneruskannya sehingga ke akhir hayat," katanya.

Sementara itu, Omar Awang, 75, dari Kampung Hiliran Masjid berkata, dia sudah lama teringin untuk mengayuh beca seperti biasa.

"Sejak PKP pada 18 Mac lalu saya tidak lagi menyediakan perkhidmatan beca di pasar itu kerana patuh pada arahan yang ditetapkan kerajaan.

"PKPB memberi peluang untuk saya memberikan perkhidmatan itu seperti biasa walaupun ketiadaan pelanggan," katanya.

Tambahnya, penarik beca antara yang terjejas teruk kerana PKP dan pihak kerajaan negeri juga ada memberitahu akan membantu dengan pemberian sumbangan sekali atau 'one off.'

"Setakat ini sumbangan kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) itu masih belum diterima.

"Sekiranya kerajaan negeri segera memberi sumbangan itu keresahan dan kesempitan penarik beca yang terjejas akan berkurangan," katanya yang menjalankan perkhidmatan beca itu lebih 40 tahun lalu.

Menurutnya, dia berharap sumbangan 'one off' yang dijanjikan kerajaan negeri segera disalurkan sekali gus membantu meringankan beban penarik beca yang terjejas sepanjang PKP.

Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 1:21pm
d