mutakhir

Lima hotel ditutup bukan kerana Covid-19

Oleh Amir Mamat

KERAJAAN negeri Melaka menafikan lima hotel di negeri ini terpaksa 'gulung tikar' akibat penularan wabak Covid-19, ketika ini.

EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, sebaliknya semua hotel terletak di bandar Melaka itu ditutup sementara kerana pemilik premis dalam proses penjualan kepada pihak ketiga yang bermula sebelum wabak itu menular di negara ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat dua hotel sedang mengkaji untuk menghentikan operasi mereka memandangkan situasi di luar jangkaan itu, sekali gus menjejaskan punca rezeki ratusan pekerja mereka.

"Sehubungan itu, Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri Melaka diberi tanggungjawab untuk mengumpul maklumat serta data tepat mengenai pekerja yang terkesan sama ada dibuang kerja serta-merta atau diberhentikan mengikut tempoh tertentu.

"Kami akan berusaha untuk menyelamatkan pekerja serta mereka yang terbabit dalam industri pelancongan di negeri ini. Justeru, mereka diberhentikan kerja itu perlu tampil kerana setakat ini kami belum dapat maklumat atau data lengkap mereka perkara itu.

"Kerajaan negeri akan berurusan secara baik dengan majikan kerana kami sedar kesan akibat wabak Covid-19 ini bukan sahaja kepada pekerja, tetapi majikan turut terjejas apabila mereka tidak berupaya untuk membayar gaji pekerja," katanya pada sidang media di Hotel MITC, Ayer Keroh, hari ini.

Muhammad Jailani berkata, pihaknya akan berhubung dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO ) untuk mencari kaedah terbaik bagi memastikan kebajikan pekerja terbabit mendapat pembelaan.

Pada masa sama, beliau bercadang untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan itu dalam industri pelancongan selepas wabak Covid-19 berakhir.

"Kerajaan negeri akan mewujudkan Tabung Pembangunan Ekonomi bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam industri ini terutama untuk menyokong sektor perhotelan untuk terus membangun, sekali gus menyumbangkan semula pendapatan kepada negara.

"Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan secara serius pengecualian cukai, termasuk Caj Warisan yang dikenakan ke atas hotel sepanjang tempoh Covid-19 ini," katanya.

Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 3:03pm
d