mutakhir

Saringan Covid-19 di Rumah Seri Kenangan

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

JABATAN Kesihatan Negeri Kelantan menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap kakitangan dan penghuni warga emas di Rumah Seri Kenangan, Taman Kemumin, bermula hari ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Husin berkata, pendekatan itu dilakukan memandangkan penghuni di pusat berkenaan adalah warga emas yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

"Memang kita menjalankan saringan di pusat berkenaan mulai hari ini dan ia adalah prosedur biasa memandangkan kesemua penghuni adalah warga emas.

"Rumah Seri Kenangan adalah pusat jagaan pertama yang menjalankan saringan dan institusi lain juga akan dibuat secara berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas, yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, ujian saringan berkenaan dijangka mengambil masa beberapa hari.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memuat naik gambar di Facebook memaklumkan program saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Rumah Seri Kenangan kepada 100 penghuni warga emas dan 50 kakitangan bermula hari ini.

"Moga semua kakitangan dan penghuni bebas Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 3:49pm
    d