mutakhir

Saya dipecat dua kali daripada PKR - Muhammad Jailani

Oleh Amir Mamat

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis terkejut kerana mendakwa dipecat dua kali daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau yang juga EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Melaka, berkata surat pemecatan pertama diterimanya pada 21 Mac lalu yang menyatakan kepemimpinan parti sepakat untuk memecat beliau daripada PKR, manakala surat kedua pula diterima pada 10 April lalu.

Beliau hairan mengapa parti dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim itu semakin bercelaru serta tidak mendahulukan kebajikan ahli, sebaliknya hanya memikirkan untuk menekan ahli yang tidak sehaluan dengan mereka.

"PKR bukan lagi parti memperjuangkan nasib rakyat, sebaliknya hanya memikirkan cara untuk membolehkan seseorang itu diangkat sebagai Perdana Menteri.

"(Bagi mereka) tiada lebih penting daripada itu (menjadi Perdana Menteri).

"Saya sangat bersyukur kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai PKR dan DAP jatuh atas kehendak Allah dan diganti dengan Perikatan Nasional (PN) yang pada asasnya sangat prihatin dengan nasib rakyat terutama ketika penularan wabak Covid-19," katanya pada sidang medianya di Ayer Keroh, hari ini.

Semalam, PKR memecat 348 ahli dan pemimpin termasuk dua wakil rakyatnya selepas didapati melanggar disiplin parti itu.

Wakil rakyat dipecat itu adalah Muhammad Jailani dan Adun Batu Lintang, See Chee How, sementara dua yang digantung keahlian adalah Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha dan Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin.

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang bermesyuarat pada 21 Mac dan 26 April lalu meluluskan beberapa syor Lembaga Disiplin berkenaan tindakan terhadap sejumlah anggota yang didapati melanggar disiplin parti.

Muhammad Jailani antara empat wakil rakyat PH di Melaka yang bertindak menyokong gabungan PN selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka ketika itu, Adly Zahari.

Selain beliau, Adun Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; Adun Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Adun Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad turut sepakat meninggalkan kerajaan PH itu.

Muhammad Jailani berkata, beliau kini berasa selesa untuk bekerjasama dengan kerajaan PN di Melaka walaupun berstatus Adun Bebas dan berjanji akan melaksanakan tanggungjawab diamanahkan dengan sebaiknya.

Ditanya adakah hasrat untuk menyertai mana-mana parti, beliau berkata, sehingga kini ada tawaran daripada kepemimpinan parti khususnya di Melaka.

"Saya ada terima tawaran daripada beberapa parti, namun berilah saya masa untuk memikirkan wadah sesuai dengan jiwa serta nurani saya.

"Insya-Allah, saya akan umumkan tidak lama lagi," katanya.

Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 4:13pm
d