mutakhir

180 positif membabitkan kluster pasar borong [METROTV]

Oleh Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

SEBANYAK 180 kes positif Covid-19 membabitkan kluster Pusat Bandar Utara dan di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 100 kes di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan 80 kes dikesan di luar kawasan PKPD.

"PKPD di beberapa lokaliti di Pusat Bandar Utara dan di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) ditamatkan semalam bagaimanapun Parcel C, D, E1, E2, E3 dan F di Pusat Bandar Utara dilanjutkan tempoh PKPD sehingga 12 Mei ini.

"Jumlah keseluruhan ini termasuk peniaga dan bukan peniaga seperti ahli keluarga peniaga, pengunjung dan orang yang mempunyai kontak rapat dengan kluster ini serta terdapat satu kes kematian dalam kluster ini, iaitu kes ke-5,252," katanya pada sidang media harian hari ini.

Menurutnya, kluster Pasar Borong Kuala Lumpur didapati berkaitan dengan kluster Perhimpunan di Seri Petaling iaitu kes indeks ke-3039 apabila salah seorang peserta perhimpunan terbabit dikesan positif virus itu.

"Daripada 80 kes dikesan di luar kawasan PKPD Pasar Borong Kuala Lumpur, 29 kes dikesan melalui saringan dijalankan di empat pasar awam iaitu di Pasar Besar Seremban, Negeri Sembilan seramai 75 orang disaring dan tiga daripadanya positif Covid-19 manakala seorang lagi masih menunggu keputusan.

"Selain itu, di Pasar Besar Bahau, Negeri Sembilan seramai 182 orang disaring dan dua daripadanya dikesan positif manakala dua lagi masih menunggu keputusan dan begitu juga di Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor (545 disaring, 23 positif)," katanya.

Menurutnya, seramai 142 orang disaring di Pasar Taman Megah, Petaling Jaya, Selangor dan seorang disahkan positif.

"Susulan penularan jangkitan Covid-19 ini, beberapa tindakan dan langkah pencegahan diambil termasuk peniaga atau pemborong yang ingin berniaga atau masuk ke premis Pasar Borong Kuala Lumpur dikehendaki menjalankan ujian dan mengemukakan keputusan ujian saringan Covid-19.

"Malah, KKM dengan bantuan agensi berkaitan mengenalpasti beberapa pasar harian yang berkaitan atau mempunyai peniaga yang banyak berurusan dengan PBKL.

"Pejabat Kesihatan Daerah dimaklumkan untuk menjalankan penilaian risiko jangkitan Covid-19 ke atas peniaga yang ke pasar terbabit mereka perlu menjalankan saringan gejala ke atas peniaga dan mengambil ujian pengesanan (rRT-PCR) kepada mereka yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan," katanya.

Noor Hisham berkata, bagi mereka yang tidak bergejala dan tiada sampel diambil, mereka perlu memantau kesihatan diri dengan menggunakan Home Assessment Tool dan segera memaklumkan Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran sekiranya mempunyai gejala.

"Selain itu, semua majikan dan pekerja dinasihatkan untuk membiasakan dan mempraktikkan normal baharu dalam kehidupan dan cara kerja bagi memastikan penularan jangkitan Covid-19 dapat terus dibendung.

"Ini adalah amat penting sekali supaya semua usaha yang dijalankan selama ini dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 adalah berterusan berkesan.

"Susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), peniaga, pengusaha dan majikan perlu patuh kepada syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa berdasarkan sektor masing- masing," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 5:38pm
    d