mutakhir

Seronok kome ya...

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

TIGA lelaki ditahan polis ketika sedang leka bermain meriam di kawasan padang awam di Kampung Gajah, malam tadi.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, ketiga-tiga lelaki berusia antara 19 dan 22 tahun itu tahun ditahan sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah dan anggota Balai Polis Kampung Gajah.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, ketika polis tiba di lokasi, ketiga-tiga lelaki terbabit sedang bermain meriam karbaid di kawasan berkenaan.

Menurutnya, mereka gagal memberikan alasan yang kukuh dan munasabah selepas polis menanyakan tujuan mereka berada di kawasan itu.

"Ketiga-tiga lelaki terbabit memaklumkan mereka mula bermain meriam sejak 9 malam dan sudah melepaskan empat das tembakan sebelum ditahan.

"Susulan itu, polis merampas sebatang paip Polyvinyl Chloride (PVC) dan paip simen yang sudah diubah suai, kayu untuk mencucuh meriam, dua kayu yang diubah suai dan sebotol minyak diesel dan guni," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, ujian awal saringan air kencing yang dijalankan mendapati tiga lelaki terbabit negatif dadah dan mereka juga tiada sebarang rekod kesalahan lampau sebelum ini.

"Mereka akan direman pagi ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.

Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 10:06am
d