mutakhir

Daftar 'online' dahulu - Jabatan Imigresen

Oleh Samadi Ahmad

RATA-RATA pengunjung yang datang ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Putrajaya, hari ini bagi memperbaharui visa pulang hampa selepas mengakui tidak mengikuti arahan dikeluarkan jabatan itu.

Tinjauan hari ini mendapati JIM membuka bahagian secara berperingkat membabitkan bahagian Visa, Pas dan Permit , Bahagian Khidmat Ekspatriat dan Bahagian Pekerja Asing selepas kerajaan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ada dalam kalangan pelanggan yang datang awal, namun terpaksa pulang selepas gagal mematuhi arahan dikeluarkan JIM.

Menurut jurucakap Unit Komunikasi Korporat JIM, perkhidmatan dibuka hari ini hanya membabitkan pelanggan yang membuat temujanji melalui permohonan secara dalam talian bermula 4 Mei lalu.

Katanya, jumlah pelanggan itu dihadkan bagi mengelak kesesakan dan penjarakan sosial mengekang wabak Covid-19 semasa berurusan di pejabat itu.

"Kebanyakan pengunjung yang hadir tidak membaca secara menyeluruh arahan dikeluarkan JIM yang disiarkan melalui media, Facebook dan laman jabatan menyebabkan mereka tidak dapat berurusan hari ini," katanya.

Pada 4 Mei lalu, JIM membuka pejabat secara berperingkat selaras dengan keputusan kerajaan membenarkan perkhidmatan agensi kerajaan dibuka membabitkan urusan permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).

Sementara itu, pegawai sumber manusia kilang di Bandar Baru Bangi, Siti Izzati Ismail, 29, berkata, beliau datang ke pejabat JIM bagi memperbahuri visa pekerja selepas mendapat maklumat pejabat itu dibuka hari ini melalui hebahan media.

Siti Izzati mengakui tersilap kerana sepatutnya beliau terlebih dahulu membuat temujanji diatas talian bagi mengelak kesesakan di pejabat itu.

"Walaupun tidak dapat berurusan, namun saya berpuas hati selepas mendapat penerangan lanjut diberikan kakitangan JIM yang bertugas di pintu masuk pejabat berkenaan," katanya.

Bagi Ismail Khalid, 26,

dari Shah Alam, beliau juga hampa kerana tidak dapat berurusan selepas tidak menyemak secara menyeluruh arahan dikeluarkan JIM yang mengarahkan pelanggan mendaftar secara dalam talian.

Katanya, beliau datang ke pejabat JIM awal pagi bersama seorang pekerjanya yang tamat tempoh visa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan risau sekiranya dikenakan tindakan.

"Selepas menerima penerangan daripada kakitangan bertugas barulah saya faham dan akan datang semula selepas mengadakan temujanji dan mendapatkan nombor giliran secara dalam talian," katanya.

Orang ramai dinasihatkan supaya melayari portal rasmi JIM di www.imi.gov.my dan Facebook rasmi JIM untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai tatacara membuat temujanji berurusan di pejabat Imigresen.

Pertanyaan lanjut boleh diajukan dengan menghubungi talian Hotline di 03-88882010 dan 03-80008000.

Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 12:21pm
d