mutakhir

Lebur RM56,560 ditipu

Oleh Shahrinnahar Latib

Seorang ahli perniagaan di Kuantan berputih mata apabila kerugian RM56,560 selepas diperdaya sindiket Macau Scam.

Kejadian bermula 25 April lalu selepas lelaki berusia 48 tahun itu menerima panggilan mendakwa dia kononnya terbabit dengan kes penggubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa lelaki menerima panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa sebagai pekerja Pos Laju.

Menurutnya, wanita itu mendakwa mangsa ada menghantar bungkusan ke Sabah yang mengandungi kad pengenalan, lapan keping kad mesin pengeluaran wang tunai (ATM) dan satu buku cek.

Katanya, lelaki terbabit menafikan perkara itu sebelum panggilan berkenaan disambungkan kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dari Sabah.

"Mangsa yang bimbang ditangkap, mengikuti arahan pegawai polis palsu itu untuk memindahkan wang simpanannya menerusi dua transaksi pada 28 April lalu, kononnya bagi tujuan audit oleh pihak polis.

"Suspek mendakwa audit itu mengambil masa seminggu dan wang akan dipulangkan, namun sehingga semalam, ahli perniagaan itu tidak menerima wang berkenaan, selain gagal menghubungi 'pegawai' terbabit," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 12:38pm
d