mutakhir

'Berbaloi penat Che Yah daki bukit'

Oleh Amran Yahya

LONGGOKAN kayu getah yang ditebang dan gagal dijual sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu memberi rezeki kepada seorang warga emas apabila kayu itu ditumbuhi cendawan kukur.

Che Yah Kassim, 70, berkata, cendawan kukur yang juga dikenali dengan cendawan sisir memberinya sumber pendapatan kerana ia dapat dijual dengan harga RM30 sekilogram.

Katanya, walaupun terpaksa berjalan kaki dan mendaki bukit kira-kira 0.5 kilometer setiap hari untuk sampai ke lokasi itu, namun ia berbaloi dengan pendapatan yang boleh dirai dengan menjualnya.

"Pokok getah ini mula ditebang dua minggu sebelum PKP dan kebiasaannya kayu akan dijual oleh pemiliknya. Bagaimanapun, disebabkan PKP, kayu-kayu ini terbiar begitu sahaja.

"Lebih molek lagi, sepanjang PKP ini hujan kerap turun menyebabkan cendawan kukur ini tumbuh dengan banyak di hampir setiap batang," katanya ketika ditemui di Kampung Ulu Inas, Johol dekat Kuala Pilah, hari ini.

Che Yah berkata, cendawan kukur ini juga seolah-olah memberi rezeki buat anak bongsunya, Asiah Che Wan Dahlan, 46, yang kini hilang punca pendapatan akibat arahan PKP baru-baru ini.

"Dia (Asiah) bekerja sebagai pembantu di kantin sekolah dan apabila kantin tidak beroperasi, dia terpaksa mengikut saya memungut cendawan kukur untuk menambah pendapatan.

"Lebih mengembirakan lagi, cendawan kukur ini juga tidak putus-putus mengeluarkan hasil sejak awal PKP dan sehingga kini ia masih lagi banyak," katanya.

Sementara itu, Asiah berkata, dia berkongsi penjualan cendawan kukur itu di laman sosial dan permintaan sentiasa ada setiap hari.

"Ada pembeli yang datang sendiri di rumah dan ada yang dihantar menggunakan kaedah cash on delivery. Selalunya, pembeli akan menghubungi melalui telefon sehari sebelum tarikh yang diinginkan.

"Pembeli terdiri dari orang tempatan dan sekitar daerah Kuala Pilah termasuk Jempol dan Melaka," katanya.

Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 1:34pm
d